Jumaat, 15 Julai 2011

Pilihan Ain AF8


Ezad Lazim akan menemani Ain mengadakan persembahan ketika Fiesta Agro Malaysia 2011 berlangsung bermula hari ini di perkarangan Stadium Shah Alam.

KELUNAKAN vokal yang dimiliki Nadiawati Ainul Basir, 25 atau Ain melayakkannya menyertai program realiti popular terbitan Astro Ria, Akademi Fantasia musim kelapan (AF8).

Namun, nasib tidak menyebelahinya apabila Ain disingkirkan pada minggu terakhir menjelangnya konsert final yang menobatkan Shahir sebagi juara musim tersebut.

Lantas, selaku pihak yang bertanggungjawab dalam mengembangkan karier seni artis kelahiran Astro, Ain diletakkan di bawah naungan Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB) seperti mana yang telah dipersetujui kedua-dua belah pihak.

Bak kata pepatah, indah khabar dari rupa. Sinar mentari yang diharapnya sehingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari.

Begitulah nasib yang dilalui Ain apabila bernaung di bawah AESB. Di awal pembabitannya dengan syarikat pengurusan berkenaan, Ain akui, rezekinya murah dengan undangan nyanyian di sana-sini.

Katanya, walaupun rezekinya tidak ‘semeriah’ jika hendak dibandingkan dengan finalis AF8, Ain tetap bersyukur dengan rezeki yang diperolehi.

“Tetapi, setelah setahun dengan AESB, undangan yang diterima semakin berkurangan. Kadang-kadang, dalam seminggu tiada langsung tawaran yang masuk.

“Apabila jadi begitu, terbit perasaan kurang senang antara saya dan AESB. Justeru, selepas mengadakan perbincangan, pihak pengurusan bersetuju melepaskan saya daripada ikatan kontrak tiga tahun bersama mereka.

“Sejak itu, saya memilih jalan sendiri untuk berkarya dan mula berdikari demi mencari sesuap nasi,” cerita Ain meluahkan isi hatinya yang terpendam selama ini.

Kini, selepas dua bulan keluar dari kepompong yang membelenggu dirinya sebelum ini, Ain sedikit pun tidak berasa kesal dengan tindakannya meninggalkan AESB.

Kata Ain, dia bersyukur kerana rezekinya tetap ada dan cukup sekadar menampung perbelanjaan untuk membeli keperluan hariannya.

“Walaupun tidak mewah seperti artis lain, alhamdulillah, duit yang diperoleh mampu untuk menyara hidup saya dan sekiranya ada rezeki lebih, saya akan hulurkan kepada keluarga saya di Sandakan, Sabah.

“Lebih setahun bergelar anak seni, ia mengajar saya supaya tidak mudah berputus asa.

“Saya benar-benar ingin menjadi penyanyi yang berjaya. Jadi, saya cekal dan tabah hadapi semua dugaan. Syukur, sehingga hari ini, saya belum lagi menempuhi ujian besar yang menduga kesabaran saya,” ceritanya dengan rancak.

Mengulas perkembangan terbarunya, Ain memberitahu, dia bakal memeriahkan Fiesta Agro Malaysia 2011 yang bakal berlangsung di perkarangan Stadium Shah Alam, Selangor bermula hari ini sehingga Ahad, 17 Julai ini.

“Saya akan tampil dengan membuat persembahan dengan mendendangkan dua buah single iaitu Penanggung Sepi dan Nafas Sempurna.

“Bagaimanapun, saya hanya akan terlibat pada konsert mini yang diadakan pada malam akhir karnival iaitu pada hari Ahad,” kata Ain sambil memberitahu bekas vokalis kumpulan Exist, Ezad Lazim turut memeriahkan konsert mini berkenaan.

Tambah Ain, fiesta tiga hari berturut-turut itu adalah anjuran Siswalink (M) Sdn. Bhd., dan disokong oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Pelbagai pameran mengenai pertanian diadakan di situ serta acara lelongan buah-buahan tempatan oleh Mr. Os turut berlangsung,” kata Ain.

Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
Gambar MUHAMAD IQBAL ROSLI

0 comments: