Sabtu, 9 Julai 2011

Buat lagu dakwah ilham klip video


BERSAMA anak tunggalnya Naylie Carmiela yang menjadi sumber ilhamnya mencipta lagu.
Biarpun sinonim dengan lagu-lagu rock tetapi CD Naz berubah angin selepas lebih dua dekad melekat dengan genre muzik yang bingit dan keras itu. Gitaris berusia 39 tahun itu kini berubah arah menerusi lagu-lagu ketuhanan.
Menurut CD Naz yang berasal dari Jalan Kaki Bukit, Kangar, Perlis ini, dia tidak terfikir suatu akan beralih arah daripada membawakan lagu-lagu ketuhanan. Ini kerana jiwanya begitu kental dengan genre rock.
Namun, kekentalan jiwanya yang tebal dengan pengaruh muzik dari Barat itu akhirnya cair selepas dia menonton sebuah klip video lagu kumpulan rock dari Indonesia. Itu adalah langkah awalnya menghasilkan lagu berunsur ketuhanan.
"Tahun lalu saya secara tidak sengaja menonton sebuah klip video kumpulan Ungu di U-Tube. Saya lupa judul lagu itu tetapi cerita di sebalik klip video yang memaparkan satu adegan kemalangan jalanraya amat menyentuh hati saya.
"Saya sedih, gerun dan tersentuh apabila melihat adegan itu yang sangat sesuai dengan melodi lagu itu. Ia bukan sahaja menginsafkan saya tetapi juga memberi idea baru. Daripada situlah timbulnya idea saya mencipta lagu baru.
"Tidak lama selepas itu saya mendapat idea mencipta lagu bertajuk Perlu Kembali yang lebih ke arah lagu-lagu dakwah. Saya mencipta lagu, lirik dan menyanyikan sendiri lagu itu," katanya.
Pada pertemuan di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor itu, duda anak satu ini tidak menafikan ramai peminatnya yang terkejut apabila dia tampil dengan album single.
Bapa kepada Naylie Carmiela, 11, ini berkata dia sendiri pada mulanya berasa agak kekok menyanyikan lagu itu kerana rentaknya yang sangat berbeza daripada muzik rock yang pernah dimainkannya selama ini.
"Ramai juga peminat saya di Facebook yang bertanya dan tidak percaya dengan perubahan dalam lagu-lagu terbaru ciptaan saya. Bagi saya, lebih senang untuk berubah ke arah lagu-lagu ketuhanan kerana saya kini penyanyi solo.
"Kalau bersama-sama dalam satu kumpulan agak sukar saya menarik perhatian anggota-anggota lain ke arah lagu dalam genre ini. Maklumlah hati manusia tidak sama dan setiap orang tahap pemikiran dan kesedarannya juga berbeza.
"Saya dapati lagu-lagu ketuhanan banyak memberi kepuasan kepada saya. Selain itu, saya juga boleh berkongsi perasaan dan kesedaran itu dengan para pendengar. Apatah lagi lagu-lagu ketuhanan semakin popular sekarang ini," ujarnya.
Dia yang pernah muncul dengan album solo pertamanya berjudul Bara Rasa pada tahun 2005 di bawah syarikat rakaman Inter Global Music (M) Sdn. Bhd., itu kini berusaha untuk menyakinkan para peminat akan album singlenya itu.
Namun, pada masa sama gitaris berusia 39 tahun ini tidak menafikan sukar untuk mengikis imej rock yang ada pada dirinya, selain menyakinkan para pendengar bahawa tidak mustahil pemuzik rock sepertinya juga boleh bertukar rentak muzik.
"Di sini saya mahu menekankan bahawa saya bukannya pejuang muzik. Sebaliknya, saya adalah pencinta muzik. Saya hanya akan membawakan lagu-lagu yang bagus termasuklah mesej dalam lirik lagu-lagu yang saya nyanyikan.
"Saya harap, para pendengar faham dengan pendirian saya itu. Ini kerana, bukan saya seorang tetapi ramai penyanyi lain juga berubah dan beralih konsep muzik mereka termasuklah Cat Stevens dan Akhil Hayy. Ia bukannya trend.
"Semua itu datangnya dari hati masing-masing. Setiap orang ada pengalaman sendiri termasuklah saya. Siapa sangka lagu Perlu Kembali itu ideanya tercetus daripada klip video lagu rock," tuturnya lagi yang telah menduda sejak 11 tahun lalu.

0 comments: