Isnin, 18 Julai 2011

Lebih 460 maut bencana banjir di China


BEIJING 17 Julai - Lebih daripada 460 orang terbunuh atau hilang sejak Jun lalu selepas hujan lebat pada musim panas mencetuskan banjir besar dan tanah runtuh, kata pegawai kerajaan.

Hujan lebat yang melanda beberapa bandar di China sejak awal bulan lalu mengakibatkan kemusnahan di mana tanah runtuh dan banjir kilat membunuh dan memerangkap ramai orang.

Menurut Kementerian Hal Ehwal Awam, sejak 1 Jun lalu, bencana alam yang dicetuskan oleh hujan telah mengakibatkan 355 orang terkorban dan 112 lagi hilang, memaksa pemindahan lebih 2.3 juta penduduk dilakukan.

Setiap musim panas, negara ini sering dilanda hujan lebat dan pada tahun lalu sahaja, kejadian banjir terburuk dalam tempoh sedekad mengakibatkan lebih 4,300 orang mati atau hilang.

Antaranya kejadian tanah runtuh di barat laut wilayah Gansu pada Ogos tahun lalu yang mengorbankan 1,500 orang.

Menurut agensi berita rasmi Xinhua semalam, kejadian tanah runtuh di Gansu menyaksikan 13 orang mati apabila bas dan trak rosak akibat ditimpa tanah runtuh berkenaan.

Laporan menunjukkan lebih 800 orang yang berada di dalam 300 kenderaan terkandas di lebuh raya barat daya Yunnan selepas jalan raya ditutupi oleh lumpur dan batu-batu.

Awal bulan ini, kejadian tanah runtuh yang berlaku di sebuah bandar wilayah utara Shaanxi meranapkan banyak rumah dan mengakibatkan 18 orang terbunuh.

Pihak berkuasa memberi amaran bahawa sebahagian besar bandar negara ini akan terus dilanda hujan lebat. - AFP

0 comments: