Pesawat A330-300 MAS yang baru yang diserahkan oleh Airbus kepada syarikat penerbangan kebangsaan itu pada 24 Jun lalu. |
TOULOUSE, Perancis bukannya sebuah bandar raya yang mempunyai tarikan pelancong seperti Menara Eifel, Norte Dame ataupun Disneyland di Paris. Biar pun begitu, populariti Toulouse amat tersendiri dan dilihat daripada perspektif berbeza dengan produk pelancongan Perancis yang lain.
Kedatangan kami pada 21 Jun lalu disambut oleh penduduk Toulouse yang meraikan hari pertama musim panas dengan menyanyi, menari dan bermain alat muzik. Pemandangan seumpama itu boleh dilihat di mana-mana sahaja di bandar itu bermula seawal pukul 5 petang hingga awal pagi keesokan harinya.
Buatlah apa sahaja, menari dengan langkah yang kaku atau menyanyi dengan suara yang sumbang, tiada siapa yang akan menghalang pada malam itu.
Namun itu bukan tarikan sebenar Toulouse. Bagi mereka yang menggemari pesawat, khususnya kaum Adam, bandar raya itu adalah tempatnya! Ditolak sambutan hari pertama musim panas.
Tidak lengkap kunjungan ke bandar itu jika tidak ke kilang Airbus, tempat kelahiran pesawat penumpang terbesar dunia, A380-800 yang terletak berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Toulouse-Blagnac.
Airbus terkenal sebagai pembuat pesawat terbesar dunia selepas mengambil alih status itu daripada Boeing. Ia merupakan majikan terbesar di bandar itu dengan menggaji kira-kira 52,000 pekerja di seluruh dunia dan kira-kira 30 peratus atau 17,000 daripadanya bekerja di Toulouse.
Malah, bandar yang terletak 585 kilometer di selatan Paris itu amat terserlah sebagai ‘bandar kapal terbang’ dengan mempamerkan pesawat yang baru siap dibina sebelum diserahkan kepada pemiliknya. Kehebatan bandar raya itu boleh dilihat menerusi jendela pesawat lagi.
Penulis juga mendapat ‘bonus tambahan’ apabila terpandang pesawat baru MAS, A330-300 yang akan diserahkan kepada syarikat penerbangan kebangsaan berhampiran landasan sebelum pesawat Air France mendarat.
Jika bernasib baik, pengunjung turut berpeluang melihat pesawat Beluga (A300-600ST) yang berwajah ‘pelik’.
Airbus hanya membina lima buah Beluga, bermakna ‘white whale’ (ikan paus putih), yang bertujuan mengangkut bahagian-bahagian pesawat berbadan besar A380, A330 dan A340 yang dibuat di negara Eropah lain ke Toulouse.
Sebaik sahaja memasuki kilang pemasangan terakhir pada keesokan hari, mata terus tertumpu kepada bahagian ekor pesawat A380 yang memaparkan lambang wau berwarna merah dan biru milik MAS dengan badannya berwarna hijau yang masih belum dicat lagi.
Penerbangan
Pesawat yang berbadan hijau itu akan diserahkan kepada MAS pada April tahun depan dan penerbangan pertamanya adalah antara Kuala Lumpur dan London.
Berukuran 73 meter panjang, berketinggian 24.1 meter dengan ukuran antara sayap sepanjang 79.8 meter, sudah pasti ia memerlukan ruang yang besar bagi membina lapan buah pesawat dalam satu-satu masa.
Malah ketinggiannya kilang pemasangan ini hampir sama dengan ketinggian Arc de Triomphe di Paris.
Dari pandangan luaran, pesawat yang akan menjadi kebanggaan MAS itu telah hampir siap dengan sayapnya juga telah dipasang kecuali ‘wing tip’.
‘‘Ia hanya memerlukan kira-kira 30 minit untuk memasang ‘wing tip’ di setiap sayap,” kata Pengarah Pemasaran Produk A380, Keith Stonestreet sambil mengingatkan ahli rombongan supaya tidak menyentuh mana-mana komponen pesawat di kilang pemasangan A380 dikenali Jean-Luc Lagaedereits.
Menurut StoneStreet, pesawat itu kemudiannya akan diterbangkan ke Hamburg, Jerman untuk pemasangan kabin dalaman dan dicat sebelum diterbangkan semula ke Toulouse untuk diserahkan kepada pelanggan.
Tambah beliau, A380 dianggap sebagai tarikan ‘seorang bintang’ dan pihaknya menerima maklum balas positif daripada penumpang serta Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penerbangan yang mengendalikannya sejak pesawat itu memulakan penerbangan komersial pada lewat 2007.
Walaupun A380 merupakan ‘bintang’ namun pembinaan pesawat-pesawat lain seperti A340 dan A330 juga mendapat perhatian. Semuanya terletak di sekeliling Lapangan Terbang Antarabangsa Toulouse-Blagnac.
Tidak lengkap kunjungan ke kilang membuat pesawat jika tidak melihat keadaan dalaman pesawat yang dibina.
Untuk memberi gambaran yang lebih jelas mengenai keadaan dalaman A380, Airbus membina sebuah bangunan yang dikenali ‘Mock up’ dengan model dalaman sebenar pesawat tersebut seperti pelbagai aturan dan jenis kerusi kelas pertama, perniagaan dan ekonomi.
Sukar untuk digambarkan dengan perkataan kerana bangunan ini merupakan satu-satunya bahagian dalaman bangunan yang mana pengunjung tidak dibenarkan mengambil sebarang gambar dengan peringatan berulang kali diberi bagi memastikan peraturan dipatuhi.
Selain itu, contoh dalaman pesawat turut menerapkan ciri-ciri unik seperti kelengkapan bilik mandi untuk penumpang kelas pertama dan kedai bebas cukai turut diketengahkan dalam usaha menarik perhatian pengembara pada masa depan.
Percaya atau tidak, dengan pencahayaan yang betul, teknologi kerusi dan teknologi maklumat terkini serta pembahagian bilangan penumpang yang tepat dalam satu-satu segmen pesawat dapat menghindar kekhuatiran bahawa A380 merupakan sebuah pesawat yang membosankan disebabkan saiznya yang terlalu besar.
Tanpa disedari masa berjalan begitu pantas, melawat dua kilang memasang pesawat dan sebuah bangunan ‘Mock up’ mengambil masa selama hampir tujuh jam.
Bagi kaum Hawa yang mengikuti rombongan tersebut, kepenatan sehari suntuk menjelajah kilang besi itu mungkin terubat apabila jualan murah musim panas bermula pada hari yang sama. Sudah pasti jenama Longchamp dan pelbagai minyak wangi menjadi buruan untuk dibawa pulang ke Malaysia.
Oleh KHAIRUDDIN MOHD AMIN
(Yang mengikuti rombongan Malaysian Airline System Bhd. ke kilang Airbus di Toulouse, Perancis, baru-baru ini)
(Yang mengikuti rombongan Malaysian Airline System Bhd. ke kilang Airbus di Toulouse, Perancis, baru-baru ini)
0 comments:
Catat Ulasan