Jumaat, 15 Julai 2011

Tarikan Universal Studio Singapura


Pengunjung boleh merasai sendiri pengembaraan misteri di Jurassic Park Rapid Adventure di Universal Studio Singapura.


Menjejakkan kaki ke Kota Singa, bukanlah sesuatu yang asing buat rakyat Malaysia lantaran kedudukannya yang berjiran dengan negara ini.

Pulau Sentosa antara destinasi yang belum penulis kunjungi biar pun namanya gah dan terkenal sebagai salah satu destinasi terkemuka di rantau ini.

Penulis beranggapan pulau itu hanyalah terkenal dengan kereta kabel selain pusat perjudian yang baru dibuka. Ternyata tanggapan tersebut akhirnya dimatikan begitu sahaja sebaik melangkah ke sana buat pertama kali.

Memang benar tidak sah rasanya jika kunjungan ke Singapura tanpa melawat Pulau Sentosa, apatah lagi dengan daya tarikan terbarunya dalam lingkungan Resorts World Sentosa (RWS) milik Genting Malaysia, Universal Studio Singapura (USS).

Dengan mengetengahkan tujuh zon bertema seperti Hollywood, New York, Sci-Fi City, Ancient Egypt, The Lost World, Far Far Away dan Madagascar selain jenis 24 permainan, sudah pasti akan memberikan pengalaman menyeronokkan buat pengunjung.

Malah ia juga menjadikan taman tema itu lokasi keempat Universal Studio selepas di Hollywood (California), Orlando (Florida) dan Osaka (Jepun).

Menerjah masuk ke dalam taman tema itu semasa lawatan pra-pembukaan, pengunjung dapat merasakan bagaikan di era 60-an
kegemilangan Hollywood dengan keadaannya cukup berbeza.

Di zon itu juga, pengunjung berpeluang mengabadi kenangan ‘bergambar’ bersama pelakon terkemuka dunia dari zaman silam seperti Charlie Chaplin dan Marilyn Monroe.

Keterujaan pengunjung tidak terhenti setakat itu. Mereka dihidangkan pula panorama senibina Istana Far Far Away mengkagumkan mengingatkan saya kepada filem animasi Sherek yang berulang kali ditonton tanpa rasa jemu.

Boleh dikatakan semua taman tema itu mempunyai daya tarikan tersendiri. Pengunjung sesak beratur mengambil giliran. Tidak hairan taman tema itu telah dilawati oleh 4.5 juta pengunjung.

Bagi penggemar roller coaster, pilihan terbaik buat anda di BattleStar Galatica, Sci-Fi City untuk merasai kehebatan tekanan G (G-Force) secara total yang ternyata tidak menghampakan.

Menceritakan mengenai operasi keseluruhan taman tema itu, Naib Presiden Bahagian Operasi USS, John Hallenbeck memberitahu, kepuasan pengunjung sebaik sahaja melangkah masuk ke taman tema itu menjadi keutamaan.

‘‘Bukan mudah untuk mengatur gerak keseluruhan taman tema ini kerana ia memerlukan komitmen semua kakitangan untuk memastikan pengunjung berasa berbaloi datang ke sini.

‘‘Malah sistem operasi kami juga mengamalkan konsep taman tema berteknologi hijau yang mana setiap barangan kitar semula akan digunakan kembali. Kita melihat ia merupakan salah satu kaedah berkesan bagi mendidik orang ramai mengenai penjagaan alam sekitar,” katanya.

Disebelah malamnya pengunjung boleh menyaksikan ‘‘Crane Dance’'. Pertunjukan tersebut menyaksikan dua buah kren membuat pelbagai formasi menyerupai burung menceritakan kisah epik kasih sayang haiwan diiringi pancuran air dan skrin besar.

Pertunjukan alam fantasi selama 10 minit itu cukup memukau penonton apatah lagi ia diilhamkan oleh pemenang empat kali Anugerah Emmy Award, Jeremy Railton yang pernah mengendalikan persembahan antarabangsa melibatkan nama-nama besar seperti Michael Jackson, Cher dan Diana Ross .

‘‘Bagi saya ini merupakan landasan untuk menghasilkan satu persembahan yang hebat bukan sahaja sebagai ikon tetapi juga bermanfaat kepada resort ini,’’ katanya.

Transformers

Dengan sambutan yang begitu menggalakkan RWS dan USS dijangka membuka satu lagi zon untuk filem blockbuster Transformers.

Malah kedua-dua syarikat terbesar itu juga akan membuka Taman Hidupan Marin yang sedang dalam proses pembinaan dan dijangka mula menemui pengunjung pada tahun depan.

Bagi Tan Sri Lim Kok Thay, pembukaan Universal Studio di RWS cukup signifikan lantaran beliau cukup menggemari hasil karya filem keluaran Universal Studio.

‘‘Pada masa yang sama saya menemui satu kerjasama yang begitu baik dengan pihak Taman Tema dan Resort Universal Studio. Ini adalah baik dan kami menjangkakan sumbangan ekonomi yang lebih besar buat Singapura dalam bidang perlancongan,” katanya.

Bagi Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Taman Dan Resort Universal, Tom Williams, pembukaan USS turut memberikan peluang kepada orang ramai khususnya di Asia Tenggara menyaksikan kehebatan Universal Studio.

‘‘Ia juga merupakan peluang untuk Universal Studio memberikan perkhidmatan pelancongan, hiburan dan destinasi bertaraf dunia untuk semua pelancong dari segenap pelosok dunia,” katanya

Sementara itu, Malam Gala bersempena pembukaan USS baru-baru ini cukup memukau dengan kehadiran artis terkemuka dunia termasuk penampilan bekas juri profesional American Idol, Paula Abdul.

Majlis itu juga turut digegarkan dengan kehadiran pelakon yang cukup terkenal dengan aksi Kungfu Jet Lee selain aktres jelita dari Hong Kong, Maggie Cheung; pelakon China Zhao Wei dan bintang American Idol, Kimberly Caldwell.

Sebelum itu, Paula semasa sidang akhbar berkata, Universal Studio bukanlah sesuatu yang asing buat dirinya malahan kediamannya di California cukup hampir dengan taman tema itu.

‘‘Ia begitu sinonim dengan saya, dan bagi saya ia merupakan satu penghormatan untuk bersama-sama menghadiri majlis hebat seperti ini. Saya anggap pembukaan USS akan menjadi satu majlis yang gemilang buat semua’' katanya.

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
(Yang Mengikuti Lawatan RWS di Universal Studio Singapura)

0 comments: