Sabtu, 30 Julai 2011

Fiza bahagia dengan anak-anak


Permata hati Fiza, Ferra Aryanna (kiri) dan Feeya Adyrra.
EH... Annissa datang.

Fiza apa yang akan terjadi kepada suami awak nanti,” itulah antara soalan spontan yang diajukan oleh peminat sewaktu melihat Fiza di The Curve baru-baru ini.

Ternyata lakonan Fiza sebagai Ana seorang isteri yang penyabar, memberi impak besar kepada peminat-peminatnya.

Fiza atau nama sebenarnya Siti Zaidatul Fiza Abd. Halim, 31, berkata, itulah watak protagonis yang berjaya membuat penonton kasihan kepadanya.

Sebelum ini Fiza sering diberi watak antagonis sehingga membuatkan orang beranggapan dia juga jahat seperti peranannya dalam drama bersiri Asmara.

Bagaimanapun kata Fiza, akhir-akhir ini ramai yang mudah simpati dengannya dan tidak hairanlah rezekinya dalam bidang lakonan juga semakin bertambah.

Alhamdulillah, akhir-akhir ini rezeki saya murah sangat.

Ada banyak tawaran berlakon dan ada ketikanya, saya terpaksa tolak kerana jadualnya bertindih.

“Sepanjang saya berlakon Annissa, ada lima job yang terpaksa saya tolak, dua untuk drama episod dan tiga telefilem. Selepas Annissa, saya ada job tapi saya tolak juga kerana tidak larat nak bekerja back to back,” jelasnya.

Fiza yang telah bercerai dengan suaminya, Ahmed Farriq Zainul Abidin, 31, pada November 2010, dikurniakan dua cahaya mata, Ferra Aryanna, 3, dan Feeya Adyrra, 2, berkata, matlamat hidupnya sekarang adalah untuk anak-anak.

Menurut Fiza, biarpun dia dan suami mendapat hak penjagaan anak bersama, namun anak-anaknya banyak menghabiskan masa dengan bekas suami dan mertua di Gombak kerana kesibukannya berlakon.

“Fiza tidak kisah anak-anak dijaga suami dan mertua kerana Fiza sendiri sibuk.

Ada baiknya mereka dengan bekas suami kerana segala keperluan terjaga.

“Walaupun Fiza tidak bersama kakak dan adik (panggilan untuk kedua-dua orang anaknya), tapi setiap apa yang mereka lakukan Fiza tahu. Fiza tahu pukul berapa mereka tidur, bangun, pergi kelas dan mengaji,” katanya terus terang.

Kata Fiza, pembantu rumahnya, Yulianti, 25, sentiasa menjadi mata dan telinganya ketika dia tidak bersama anak-anak.

Baginya, Yulianti bukan sekadar pembantu tapi lebih kepada seorang saudara kerana mereka sudah bersama sejak Fiza melahirkan Feeya Adyrra.

Kalau nak tahu, bila si adik nak tidur, dia mesti cari Yulianti.

Fiza tabiklah dengan dia sebab boleh menjaga kakak dan adik dengan sabar.

Budak-budak biasalah, ada ketikanya tidak mahu dengar cakap.

Setiap kali Fiza shooting, ketiga-tiga mereka akan menetap di Gombak dan bila free, Fiza akan ambil mereka untuk tinggal dengan Fiza di Damansara.

“Waktu itu, kami akan keluar jalan-jalan. Sebab itulah, orang sekitar The Curve sudah kenal kami kerana Fiza akan bawa anak-anak lepak kat sini,” ceritanya tersenyum.

S3 dapat melihat kemesraan yang terjalin antara Fiza dan anak-anak bersama dengan jurujual di bahagian permainan.

Ketika Aryanna dan Adyrra ingin menunggang binatang mainan, mereka disuruh naik dulu dan bayar kemudian.

Malah, Aryanna dan Adyrra yang comel dan sering menarik perhatian orang ramai itu turut menunjukkan kebolehan mereka membaca doa makan, tidur dan lagu-lagu berunsur keislaman.

Banyak perkara yang Fiza belajar daripada mereka. Kalau hari ini mereka diajar perkara baru di tadika atau kelas mengaji, pasti Fiza tahu malah secara tidak langsung, Fiza pun dapat belajar.

“Cuba tengok telatah adik macam burung kakak tua. Dia ikut sahaja apa kakaknya buat, tapi ada bagusnya kerana dia dapat belajar banyak perkara,” katanya.

Disebabkan keletah anak-anaknya yang sentiasa ceria itulah Fiza tidak dapat berpisah lama dengan mereka dan setiap seorang dibelikan telefon bimbit selain pembantu rumah.

Naluri seorang ibu membuatkan Fiza tidak dapat berpisah lama dengan anak-anaknya.

Walaupun tidak dapat bertemu setiap hari kerana tugasan, namun Fiza akan pastikan dia berpeluang mendengar suara mereka.

“Tiap kali mahu bertemu mereka, Fiza pasti teruja kerana ada sahaja cerita baru yang dapat Fiza dengar,” katanya terus terang.

Bila ditanya tentang masa depan, Fiza yang pernah dikaitkan dengan Faizal Mohd. Khan, 33, bapa kepada pelakon Erin Malek memberitahu yang dunianya sekarang adalah anak-anak dan kerjaya.

Kata Fiza, dia tidak menolak jika bertemu jodoh lagi tapi untuk memilih siapa atau tarikh pernikahan, bukanlah urusannya.
“Baru sangat Fiza bercerai. Bagilah Fiza kumpul wang untuk masa depan. Kalau ada jodoh, Fiza tidak menolak,” katanya.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
Gambar MOHD. NAIM AZIZ

1 comments:

puteri ain berkata... Reply To This Comment

cite annissa ni layann habiss :) hehe ..