Jumaat, 15 Julai 2011

Farah AF nikah suami Johan


FARAH DIANA ANUAR DAN SUAMI JOHAN

Dengan hanya sekali lafaz, pengacara popular program, Nasi Lemak Kopi O, yang juga merupakan bekas pelajar Akademi Fantasia musim kedua, Farah Diana Anuar atau Farah selamat diijab kabulkan dengan lelaki pilihannya, Johan Johari, di atas Kapal Cruise di Putrajaya pada jam 4.30 petang tadi.

Di nikahkan oleh mantan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad bin Datuk Sheikh Abdul Aziz, Farah juga diwalikan oleh bapanya sendiri dan disaksikan oleh lebih 200 orang yang turut berada di atas cruise ketika itu. Menerima wang hantaran sebanyak RM 25 185, Farah juga menerima enam lagi dulang barang hantaran antaranya, sebuah Ipad, beg tangan, minyak wangi, sirih junjung, cincin dan gelang, dan mas kahwin bernilai RM 2 500, manakala pihak pengantin lelaki pula menerima sembilan dulang hantaran yang berupa sebuah jam tangan, tali pinggang, senaskah Al Quran, sehelai kemeja, kek, cincin, coklat dan manisan.

Melahirkan rasa syukur kehadrat ilahi atas kelancaran majlis ini, menurut Farah, dia mula mengenali Johan sejak tahun 2005 lagi, dan melihat keprihatin yang ada dalam diri Johan terhadapnya, membuatkan dia yakin bahawa Johan adalah pilihan terbaik untuk dijadikan suaminya.

"Mama saya pernah pesan, carilah suami yang sayangkan diri kita lebih daripada segala-galanya, bila bersama Johan, saya yakin dengannya. Dia sering mengutamakan saya dari segala hal, dan yang paling penting sekali saya lihat dia ikhlas,"jelas Farah.

"Setiap kali melihat Farah bersama keluarganya dan kadang kala bila membawa Farah berjumpa keluarga saya, saya lihat dia boleh terima mereka. Kami sama kepala, dan senang bersama,"jelas Johan pula.

Bercerita tentang perancangan selepas berkahwin, jelas Farah dia masih terus mengacarakan program Nasi Lemak Kopi O, namun menurut Farah, dia kini akan mengikut suaminya menetap di Pulau Pinang.

"Tentang komitmen kerja, pada hari-hari biasa, saya akan berada di Pulau Pinang, bagaimanapun, saya akan pulang ke Kuala Lumpur setiap hujung minggu. Saya masih mengacarakan Nasi Lemak Kopi O, dan menyanyi tetapi tidak untuk berlakon, saya tidak akan berlakon lagi selepas ini,"luah Farah yang membuat kejutan untuk suaminya dengan merancang lokasi berbulan madunya di Maldives.

OLEH WAHIDA OTHMAN

0 comments: