Sabtu, 16 Julai 2011

Menyenangi alunan azan



Stendly Delon yang kini dikenali sebagai Muhammad Ramadan



"BAYANGKAN berapa tahun lamanya saya peruntukkan masa bagi mendapatkan Islam itu.

"Namun alhamdulillah, ternyata Allah memberkati dan merestui langkah saya ini yang menyebabkan saya sangat bangga menjadi Muslim," kata bintang sinetron Indonesia Stendly Delon yang kini dikenali sebagai Muhammad Ramadan.

Meski pun dikira terlambat tetapi dengan memeluk Islam ia membuatkan beliau tetap bertenaga seperti anak muda.

"Malah seperti anak yang baru dilahirkan, saya terus berpuasa dan alhamdulillah dapat menjalaninya dengan tabah dan kuat tanpa ada sebarang masalah," katanya.

Semangatnya juga semakin berkobar untuk belajar lebih banyak mengenai Islam, termasuk membuat perbandingan antara al Kitab (Injil) dengan al-Quran.

"Tentu sahaja melalui Islam, ajarannya jauh melebihi apa juga ajaran agama lain dengan mempunyai aturan yang sangat lengkap terhadap umatnya.

“Walaupun dahulunya saya beragama Kristian tetapi yang lebih dekat dengan saya adalah masjid berbanding gereja yang menyebabkan saya lebih membesar bersama dengan Islam berbanding Kristian itu sendiri," katanya.

Azan yang sering berkumandang dari menara-menara masjid antara pendorong utama yang menyebabkan Ramadan tertarik kepada islam.

"Ketika usia masih kecil, saya begitu menyenangi alunan azan yang kedengaran tiap kali waktu solat sehingga saya dapat menghafal dan mengalunkan semula azan itu,

"Ketika mendengar suara azan hati ini rasa amat damai sekali. Saya tidak tahu mengapa. Namun bagi saya azan benar-benar satu panggilan saya kepada Islam kerana mendengarkannya, sangat mendamaikan hati.

"Jadi, suara azan dengan saya, kami umpama sahabat yang sangat akrab yang kekal bertahun-tahun dan selamanya akan tetap begitu," ujarnya.

0 comments: