Selasa, 19 Julai 2011

Kanak-kanak perlu diberi peluang sama rata: Naib Canselor UMS


KOTA KINABALU, 19 Julai 2011: Kanak-kanak yang membesar dengan kecacatan intelektual dan perkembangan diri perlu diberi peluang yang sama seperti kanak-kanak lain, dan diberi peluang membesar dengan kesedaran bahawa mereka adalah sebahagian daripada masyarakat, kata Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Brig Jen Prof Datuk Seri Kamaruzaman Ampon.

Beliau berkata amat menyedihkan untuk mengetahui bahawa masih ada ibu bapa yang menganggap anak-anak mereka yang mengalami kecacatan sebagai kanak-kanak yang tidak akan dapat peroleh apa-apa dalam kehidupan.

“Sebenarnya mereka (kanak-kanak ini) berupaya untuk berbuat apa-apa sahaja sekiranya mereka diberikan peluang-peluang yang sewajarnya,” katanya dalam ucapan beliau di Persidangan Antarabangsa Kecacatan Intelektual dan Perkembangan Diri (ICIDD) 2011 di sini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh timbalannya Prof Madya Kasim Md Mansur.

Kamaruzaman berkata semua pihak mempunyai peranan untuk mendidik orang ramai supaya mereka faham bahawa kewujudan setiap individu, tidak kira cacat atau sebaliknya, amat bermakna kepada komuniti.

Menurutnya persidangan anjuran bersama Seri Mengasih Centre, yang merupakan pusat pembangunan khas Kota Kinabalu, dan UMS itu, merupakan platform untuk perbincangan bagi isu-isu yang dihadapi oleh komuniti, yang menghimpunkan kumpulan para akademik, ibu bapa, profesional dan juga Orang Kurang Upaya.

Lebih 40 penceramah dari Amerika, United Kingdom, Jepun, Korea, Kanada, New Zea- land, Singapura dan Malaysia mengambil bahagian dalam acara tiga hari itu.

0 comments: