Jumaat, 15 Julai 2011

Hargai hati elak hepatitis


MOHD. Yusof Ahmad menurunkan tandatangannya sempena Kempen Hepatitis yang diadakan, baru-baru ini.


HEPATITIS satu penyakit yang semakin mengancam nyawa manusia. Di Malaysia sahaja dianggarkan lima peratus daripada penduduknya telah menghidap Hepatitis B kronik dan lebih kurang dua peratus lagi Hepatitis C kronik.

Namun pada peringkat dunia, kedua-dua penyakit itu disenarai sebagai salah satu punca utama kematian yang mana melebihi sejuta kes dicatatkan setiap tahun.

Ia yang juga dikenali sebagai penyakit radang hati biasanya disebabkan jangkitan virus yang boleh merebak melalui perkongsian alat suntikan ubat atau dadah, pisau cukur, berus gigi dan peralatan lain seperti gunting kuku yang dicemari darah.

Selain itu ia juga disebabkan tatu, bertindik telinga atau badan dengan alatan yang tidak disteril, menerima darah tercemar melalui darah sebelum saringan virus hepatitis diperkenalkan.

''Penularan daripada ibu penghidap virus hepatitis diperkenalkan semasa bersalin dan ini adalah cara jangkitan Hepatitis B yang paling biasa,'' katanya.

Sehubungan itu Pakar Perunding Hepatologi, Profesor Dr. Rosmawati Mohamed yang juga Ahli Majlis Eksekutif Gabungan Membasmi Hepatitis Virus di Asia Pasifik (CEVHAP) berkata, setiap orang perlu mengambil tahu mengenai penyakit itu dan tidak sesekali menganggap diri kebal terhadapnya.

''Penyakit ini boleh dihidapi oleh sesiapa. Oleh itu setiap orang perlu menjalani ujian darah kerana keputusan ini sahaja yang dapat membuktikan seseorang itu menghidap hepatitis atau bebas daripadanya,'' katanya.

Dr. Rosmawati yang mempelopori kempen Hari Hepatitis Sedunia di Malaysia berkata, hepatitis bergelar pembunuh senyap kerana virus itu dapat hidup dalam tubuh selama bertahun-tahun sebelum timbul apa-apa simpton.

''Hari Hepatitis Sedunia akan dirai secara besar-besaran pada tahun ini supaya dapat membantu usaha mengurangkan bebas virus hepatitis,'' katanya pada sidang akhbar Kempen Hepatitis yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru.

Turut hadir Ketua Pengarah Galeri Seni Negara, Datuk Mohd. Yusof Ahmad.

Berikutan itu sempena Hari Hepatitis Sedunia bertemakan Kenali Hati Anda, Sedarlah dan Jumpalah Doktor (Know Your Liver, B Aware, C A Doctor) pada 28 Julai ini akan dianjurkan pelbagai kempen di seluruh negara.

Ia bermula dengan pameran solo oleh Bhanu Achan yang bertajuk Variasi 40 yang merupakan koleksi lukisan di sepanjang penglibatannya dalam bidang seni.

Ia akan diadakan di The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac) dari 4 hingga 17 Julai.

Sebanyak 40 peratus daripada hasil jualan lukisan yang dipamerkan akan disalurkan kepada tabung Hari Hepatitis Sedunia.

''Penglibatan Bhanu amat dihargai kerana dapat menyebarkan maklumat mengenai penyakit ini menerusi seni,'' kata Dr. Rosmawati.

Katanya, menjelang Hari Hepatitis Sedunia, sebanyak 6,000 pesakit yang paling awal mendaftar di laman web rasmi akan dapat menjalani saringan hepatitis B dan C secara percuma di 20 hospital yang turut serta dalam kempen itu di seluruh negara.

Sehubungan itu, orang ramai boleh mendaftar secara online di laman web http://www.myhepatitisday.com/.

''Saringan ini penting kerana hepatitis yang disebabkan virus Hepatitis B dan C merebak terutamanya melalui darah yang terjangkit atau melalui bendalir tubuh,'' katanya.

Sehubungan itu, katanya, mereka yang berisiko tinggi memang patut menjalani ujian itu.

Beliau memberitahu, acara utama Hari Hepatitis Sedunia akan berlangsung pada 16 dan 17 Julai ini di pusat membeli-belah Sunway Piramid.

Sempena dengan majlis itu diadakan pameran foto montaj, pusat kaunseling untuk pemvaksinan dan pondok ujian hepatitis.

Oleh SHOLINA OSMAN
Gambar JEFFRI IRAN

0 comments: