Jumaat, 15 Julai 2011

Kota Shanghai syurga si pengembara


HASIL pertukangan yang boleh didapati di Bandar Lama Shanghai.


BERMULA dari hanya sebuah perkampungan nelayan kecil, Shanghai berkembang kepada sebuah bandar pelabuhan dan kini menjadi kota metropolitan yang paling pantas membangun di dunia.

Peluang ke Shanghai baru-baru ini memberi peluang kepada penulis menyelongkar keindahan kota yang dipenuhi bangunan pencakar langit dan serba-sedikit sejarahnya.

Kepesatan dan keunikan Shanghai bukanlah sesuatu yang baharu dikenali tetapi telah lama dikagumi dunia sebagai pusat pertembungan budaya asing seperti Inggeris, Perancis dan Amerika.

Perkembangannya bermula selepas kekalahan China kepada Inggeris dalam Peperangan Candu pada 1842 yang memaksa China melepaskan kuasa pentadbiran di Shanghai.

Pentadbiran Shanghai kemudian diserahkan kepada lapan kuasa asing iaitu Inggeris, Jerman, Amerika, Itali, Perancis, Jepun, Austria dan Hungry.

Kawasan penempatan dan pentadbiran antarabangsa yang dibentuk melalui Perjanjian Pelabuhan kemudian menjadi titik tolak kepada pembangunan yang lebih terbuka dan maju sehingga hari ini.

Sebagai kota di mana undang-undang China tidak berkuasa, Shanghai menjadi tumpuan pengembara yang datang dari seluruh dunia untuk mencuba nasib. Dikatakan, 'kota kebebasan' itu menjadi syurga persembunyian pesalah yang melarikan diri dari pihak berkuasa.

Selain itu pembangunan yang rancak akibat kemasukan pedagang dari Timur dan Barat turut mengundang masalah apabila kebanyakan kawasan di kota itu bertukar menjadi sarang ahli-ahli kongsi gelap yang mengambil kesempatan terhadap para peniaga.

Suasana itu pernah digambarkan melalui drama popular, The Bund yang dilakonkan oleh Chow Yun Fat pada awal 80-an.

Pada masa kini, budaya samseng berkapak itu menjadi sebahagian daripada kebudayaan Shanghai yang dipertontonkan kepada pelancong melalui persembahan tarian dan fesyen.

Shanghai moden

Pada masa kini kota kedua terbesar di China yang didiami oleh lebih 23 juta penduduk itu dibahagikan kepada dua wilayah utama oleh Sungai Huangpu. Wilayah Pudong di sebelah timur dan Puxi di barat.

Peluang menetap di Hotel Gran Melia Shanghai yang terletak di tepi Sungai tersebut baru-baru ini memberi peluang kepada saya menyelongkar beberapa kawasan tumpuan pelancong di Pudong dan Puxi. Tarikan utama semestinya bangunan pencakar langit yang terletak tidak jauh dari situ.

Untuk merakam keindahan kota berprestij itu, saya ke Waitan iaitu lokasi tumpuan pelancong untuk menaiki bot persiaran yang lebih dikenali dengan nama Inggerisnya, The Bund.

Selain bangunan moden, kawasan tebingan sungai itu juga dihiasi keindahan bangunan zaman kolonial.

Pemandangan pada waktu malam dari atas bot memperlihatkan susunan bangunan yang dihiasi lampu neon berwarna-warni. Setiap bangunan juga berfungsi sebagai 'papan iklan' gergasi yang berubah warna dan imej sepanjang masa.

Berdiri paling gah di situ adalah tiga struktur paling tinggi di Shanghai iaitu Menara Oriental Pearl, Menara Jin Mao dan Pusat Kewangan Dunia. Pusat Kewangan Dunia setinggi 492 meter merupakan bangunan tertinggi di China dan ketiga di dunia.

Itulah Shanghai, kota yang dipenuhi dengan 'alat-alat permainan' kerajaan. Ia digambarkan sebagai bandar contoh republik itu seratus tahun akan datang. Landskap konkritnya pula berubah secara drastik setiap tiga tahun.

Selain pencakar langit, Shanghai juga memiliki rangkaian kereta api Maglev yang merupakan kereta api terpantas di dunia. Jika berpeluang ke sana, pecutan selaju 430 kilometer sejam itu mungkin antara pengalaman yang tidak ingin dilepaskan.

Bagi yang bercadang untuk meneruskan perjalanan ke Beijing dari Shanghai, sistem rel magnetik yang dibangunkan oleh teknologi Jerman itu hanya memakan masa lima jam berbanding lapan jam sebelum ini. Kelancaran lalu lintas di bandar itu juga diurus teratur dengan enam terowong bawah sungai.

Namun pembangunan yang pesat bukanlah sesuatu yang dibanggakan oleh setiap penduduknya. Ungkapan yang paling popular di situ mengatakan 'Shanghai adalah syurga untuk si kaya dan neraka bagi si miskin'.

Kehidupan di kota serba mewah itu bukan sahaja memberi tekanan kepada yang berpendapatan rendah bahkan golongan yang berpendapatan sederhana turut tertekan dalam meneruskan kehidupan. Bayangkan jika harga sebuah pangsapuri bertaraf kos sederhana boleh mencecah harga jutaan Yuan.

Namun hakikatnya, peluang pekerjaan yang menanti di kota itu tetap menarik rakyat dari serata dunia untuk mencuba nasib.

Penulis juga berkesempatan ke lokasi pelancongan terkemuka iaitu Bandar Lama Shanghai (Yuyuan). Bagi yang tidak kisah berbelanja, Yuyuan adalah peluang terbaik untuk menikmati keenakan makanan cina di salah sebuah restoran paling popular di Shanghai, iaitu Restoran Lu Bo Lang.

Untuk kunjungan lebih bermakna, tetamu boleh menempah persembahan The Changing Face iaitu tarian opera seorang perwira yang menukar topeng sepantas kilat (sebanyak enam kali).

Di dinding restoran itu tertera gambar-gambar individu ternama yang pernah bertandang termasuk Fidel Castro, Bill Clinton, Queen Elizabeth dan ramai lagi.

Walaupun Shanghai sebuah bandar mahal, peluang untuk membeli-belah dengan harga yang berpatutan masih ada. Penulis ke pasar raya bawah tanah Plaza AP yang terletak di bawah laluan Metro 2. Di sini pelawat boleh mendapatkan barang-barang tiruan yang berkualiti.

Jangan terlalu teruja membayar kerana harga bagi setiap barang boleh dikurangkan lebih separuh daripada harga yang ditawarkan.

Teks dan gambar ABD. HALIM HADI

0 comments: