PADANG BESAR 21 Julai – Musim harumanis tahun ini baru sahaja berakhir tetapi tiada siapa menduga daripada harganya yang murah, mempelam kebanggaan Perlis itu kini mempunyai nilai tinggi di pasaran dalam dan luar negara.
Bermula penghujung April sehingga Jun lalu, harumanis kembali menjadi tumpuan sebagaimana tahun sebelumnya.
Sebanyak 400 tan metrik harumanis berjaya dihasilkan pada tahun ini dengan setiap tahun dirancang pertambahan pengeluaran sebanyak 200 hektar lagi.
Berbanding harganya pada 1980-an yang cuma dalam lingkungan RM1.60 sekilogram, sekarang ia mencecah RM15 sekilogram malah di sesetengah tempat, hingga RM20 sekilogram.
Harga yang murah pada suatu ketika dahulu antara faktor mengapa ramai petani beralih ke tanaman lain walaupun pokok harumanis kebiasaannya berbuah lebat.
Malah, petani juga terpaksa memberi perhatian khusus kepada tanaman tersebut termasuk mengeluarkan perbelanjaan yang agak besar untuk keperluan seperti baja dan sebagainya.
Pelaburan yang dianggap tidak berbaloi pada ketika itu, menyaksikan ramai petani mempelam harumanis mengambil keputusan menghentikan usaha mereka untuk memberi tumpuan kepada mangga lain seperti sala.
Namun, terdapat juga petani yang `setia’ dengan tanaman harumanis dan menjangkakan mempelam tersebut mampu mencapai harga memberangsangkan pada suatu hari nanti.
Ternyata kesabaran petani-petani berkenaan berbaloi kerana selepas itu, harga harumanis meningkat dari musim ke musim sehingga mampu memberikan pulangan baik kepada para petani.
Kini petani yang masih mengusahakan tanaman harumanis memperoleh pendapatan lumayan pada satu-satu musim dengan ada di antaranya mampu mendapat lebih RM60,000.
Shahimi Shaari, 42, dari Kampung Gial, Mata Ayer, Padang Besar Perlis, seorang petani sambilan yang mengusahakan seluas 0.404 hektar tanaman mempelam harumanis mengakui memperoleh hasil cukup memberangsangkan.
Menurut kakitangan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Arau itu, pada musim ini, lebih lima tan metrik harumanis telah dihasilkan dari ladangnya.
“Saya merupakan antara petani awal mengusahakan tanaman harumanis iaitu pada 1980-an yang dijalankan secara berkelompok tetapi ramai menarik diri disebabkan harganya rendah ketika itu,” katanya di sini baru-baru ini.
Bagaimanapun, kata Shahimi, dia yakin bahawa mempelam harumanis akan menjadi produk terkenal Perlis pada suatu hari nanti sehingga harganya mampu meningkat berkali ganda.
“Saya kini menjual hasil tanaman kepada peraih, malah ada di antara agensi kerajaan yang membeli harumanis dari ladang saya.
“Permintaan tinggi menyebabkan harganya meningkat dari semasa ke semasa selain kos penjagaan tanaman ini (harumanis) yang turut meningkat,” tambahnya.
Shahimi memberitahu, dia menggunakan pembalut bagi membungkus buah harumanis di pokok termasuk yang disediakan oleh Jabatan Pertanian supaya tidak dimakan makhluk perosak dan kualitinya terjamin .
Nazmi Mohamad, 40, dari Kampung Alor Ara, pula mengambil pendekatan hanya menjual secara langsung kepada pembeli bagi mengelakkan orang tengah memonopoli harga harumanis.
Sebagaimana Shahimi, dia merupakan antara petani yang mendapat perhatian Jabatan Pertanian Perlis mengusahakan tanaman itu.
“Saya telah mengerjakan tanaman ini sejak sembilan tahun lalu ketika harganya murah sehinggalah mencapai harga cukup tinggi di pasaran,” katanya yang mengusahakan seluas 0.287 hektar tanaman harumanis.
Berikutan permintaan dan harganya yang tinggi katanya, dia bercadang untuk menambah jumlah pokok harumanis di ladangnya di samping menanam semula pokok baru bagi menggantikan yang tua dan tidak mampu lagi mengeluarkan hasil tinggi serta berkualiti.
0 comments:
Catat Ulasan