Selasa, 19 Julai 2011

Siapa juara Bakat TV 2011?


18 Julai - ESOK merupakan malam penutup tirai pertandingan Bakat TV 2011 yang akan disiarkan secara langsung di TV2, pukul 9 malam.

Bakat TV yang memulakan siaran sejak 22 Mei lalu melalui segmen Corat-Coret (Diari), menghimpunkan lebih 600 peserta.

Namun hanya lapan yang dipilih untuk beraksi di peringkat akhir dan sekali gus, merebut gelaran juara Bakat TV 2011.

Di antara lapan peserta yang melangkah ke peringkat akhir, Kumpulan Warisan Seni Negeri Sembilan yang dianggotai enam penari kanak-kanak berusia 10 sehingga 14 tahun diramalkan bakal bergelar juara.

Ramalan itu dibuat atas faktor persembahan mereka dilihat menarik dan menghiburkan.

Tidak hairanlah, setiap kali beraksi sama ada di peringkat suku akhir dan separuh akhir, kelincahan Kumpulan Warisan Seni Negeri Sembilan mempersembahkan tarian piring mendapat pujian juri profesional dan tepukan gemuruh daripada penonton.

Mereka juga mencetuskan suasana ceria sehingga mendapat pujian koreografer tari, Pat Ibrahim.

"Saya kagum dengan bakat seni tari yang ada dalam diri setiap anggota kumpulan ini memandangkan usia mereka yang masih muda.

"Langkah dan lenggok tari yang mereka persembahkan membuatkan kita yang melihatnya, terhibur," katanya.

Dua lagi pengkritik Bakat TV, pelawak Mr. Os dan pemuzik RTM, Asnawi Muta'ah turut memuji persembahan Kumpulan Warisan Seni Negeri Sembilan itu.

Kedua-dua berpendapat, apabila kumpulan tersebut tampil di pentas, kostum tradisional yang dipakai sesuai dengan nama kumpulan itu.

Sekiranya Kumpulan Warisan Seni Negeri Sembilan meneruskan persembahan yang cemerlang malam esok, tidak mustahil mereka bergelar juara dan membawa pulang wang tunai RM20,000, trofi, sijil dan hadiah iringan tajaan Figos.

Bagaimanapun kita tidak boleh memandang sepi kepada peserta silap mata, Fariz Hilmi kerana dia juga mempunyai peluang untuk merebut gelaran juara Bakat TV.

Sebagai satu-satunya peserta silap mata yang layak menjejakkan kaki ke peringkat akhir, Fariz dikatakan sentiasa tampil dengan persembahan yang konsisten.

Setiap minggu, aksi silap mata Fariz bukan sahaja menyakinkan barisan juri dan penonton tetapi juga menyajikan trick magis yang berlainan.

Namun sekiranya rezeki Fariz bukan sebagai juara, naib juara Bakat TV 2011 tidak akan pulang dengan tangan kosong kerana akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM15,000.

Penampilan kumpulan tarian No Noise yang dianggotai tujuh anggota juga tidak boleh diketepikan untuk merebut gelaran juara.

Kekuatan tujuh anak muda No Noise yang berasal dari Kuala Lumpur terletak pada kebolehan mereka melahirkan irama menerusi ketukan tong sampah, penutup tong dan kimpalan kereta.

Konsep drum circle yang dibawa oleh No Noise bukanlah mudah untuk dilakukan.

Atas dasar itu, No Noise dilihat mampu memberi cabaran kepada peserta-peserta peringkat akhir Bakat TV kali ini.

Kumpulan Stop Reverse Crew sering mempamerkan persembahan tarian yang bertenaga.

Sekiranya persembahan mereka malam esok berjaya memukau, Stop Reverse Crew juga berpeluang untuk merebut gelaran juara.

Ada yang berpendapat, tempat ketiga yang menjanjikan hadiah wang tunai RM10,000 akan menjadi rebutan kumpulan boy band, Putera, Muzstar-E, pemain alat muzik solo, Christopher Aban ataupun Razali Abd. Rahim.

Sayugia diingatkan, Bakat TV bukanlah sebuah pertandingan untuk mencungkil bakat menyanyi semata-mata.

Kehadiran empat jejaka yang menggelar diri mereka sebagai Putera, mempertaruhkan vokal yang mantap tidak harus dipandang remeh.

Namun laluan Putera bukanlah semudah itu kerana kehadiran Muzstar-E yang dibarisi oleh empat anggota iaitu Muhammad Akmal Ayob, Nor Azura Abu Bakar, Mohd. Fairuz Mohd. Tauhid dan Sabihah Abdul Wahid, berjaya membuka mata juri dan penonton.

Setiap kali Muzstar-E membuat persembahan, penonton akan bersorak sebagai tanda terhibur dengan apa yang disajikan.

Begitu juga dengan pemuzik solo Christopher Aban yang berkebolehan bermain pelbagai alat muzik dan Razali Abd. Rahim.

Cara pemarkahan peringkat akhir Bakat TV 2011, 70 peratus markah peserta akan diadili oleh juri-juri professional manakala 20 peratus lagi daripada sorakan dan tepukan gemuruh penonton di auditorium.

Baki 10 peratus datangnya daripada undian penonton di rumah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang telahpun dibuka sehingga malam esok.

Selain gelaran juara, salah seorang daripada peserta akhir akan diberikan anugerah Bakat Paling Popular yang menawarkan hadiah wang tunai RM10,000.

Oleh MUHAMMAD SYAFIQ ROOS ANNUAR

0 comments: