Jumaat, 1 Julai 2011

Siapa juara Imam Muda 2? ...jawapannya adalah Imam muda Hassan.


DARI kiri: Hassan dan nazrul. siapakah diantara mereka yang akan menjadi juara Imam Muda 2 yang membawa gelaran Imam Muda Unggul?

ANTARA guru besar dan pensyarah, siapakah yang akan ditabalkan sebagai Juara Imam Muda musim kedua (IM2) yang membawa gelaran Imam Muda Unggul pada realiti program itu yang bakal bersiaran secara langsung di Astro Oasis (Saluran Astro, 106) dari Dewan Muktamar, Pusat Islam, pukul 9 malam ini.
Memang sukar untuk membuat pilihan antara pensyarah sebuah kolej swasta, Mohd. Hassan Adli Yahaya @ Yahuza atau Hassan, 26, dengan Nazrul Izwan Zolkiflee atau Nazrul, 26, seorang guru besar, siapa yang bakal meraih gelaran Imam Muda Unggul.
Ini disebabkan permarkahan malam ini tidak ditentukan oleh kiriman sistem pesanan ringkas (SMS) seperti program realiti lain.
Sebaliknya, tugasan-tugasan yang dilaksanakan oleh mereka selama seminggu sebelum peringkat akhir akan menjadi kayu pengukur untuk dinilai oleh mudir dan mursyid sebelum membuat keputusan.
Bukan mudah untuk membuat pilihan antara mereka berdua kerana sejak awal IM2, Hassan dan Nazrul dilihat mempunyai kelebihan dalam setiap tugasan yang diberi berbanding peserta lain.
Bukan itu sahaja, malah mereka sering mendapat pujian dan markah tertinggi daripada mudir, Datuk Hassan Mahmood Al-Hafiz dan mursyid Ustaz Ikmal Zaidi Hashim, Ustaz Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, Ustaz Tuan Asmawi Tuan Umar dan Ustaz Zulkefli Hamat kerana komited dengan tugasan yang diberi dan bijak berinteraksi dengan orang sekeliling.
Bagaimanapun adalah difahamkan untuk penilaian bagi menentukan juara musim ini, mereka perlu melakukan tiga tugasan wajib iaitu tazkirah dan khutbah Jumaat serta menganjurkan Qiamullail.
Dalam membantu mereka ke arah gelaran yang menjadi rebutan, Imam Muda Hassan telah pulang ke kampung nya, Kampung Sungai Wangi, Air Tawar, Perak, manakala Imam Muda Nazrul ke Felda Maokil, Segamat, Johor.
Di kampung halaman mereka, kedua-duanya melakukan tugasan yang telah diberi dengan penuh rasa tanggung jawab. Namun apabila melihat kepada tugasan yang telah dilakukan ada yang meramalkan kemenangan berpihak kepada Hassan.
Namun itu bukan penentunya, kerana kita harus ingat sesi soal jawab pada malam ini dengan markah sebanyak 50 peratus bakal menentukan siapa yang akan muncul sebagai Imam Muda Unggul.
Tidak dinafikan kedua-dua mereka layak untuk membimbing masyarakat sesuai dengan status sebagai Imam Muda, namun hanya jauhari yang mengenal manikam untuk menobatkan siapakah yang bakal menjadi juara.
Bagi para peminat program IM2, masing-masing mempunyai pilihan. Namun hanya kebijaksanaan mereka ketika di pentas akhir akan menentukan siapa yang akan membawa pulang hadiah pertama bernilai RM350,000 termasuk biasiswa penuh (pakej platinum) selama empat tahun di Universiti Al-Madinah tajaan Yayasan Al-Madinah.
Selain itu, juara juga akan mendapat sebuah kereta tajaan Proton Edar, wang tunai RM30,000 sumbangan Astro, pakej perabot tajaan Jatimas, pakej haji dan umrah tajaan Salamfon, pakej percutian tajaan Hiraq Marketing, Macbook Apple tajaan Infotech Quest, iPad Apple sumbangan Astro, telefon bimbit tajaan Bank Islam, Sijil Pentauliahan oleh Mufti Wilayah Persekutuan dan trofi sumbangan Astro.
Manakala, tempat kedua pula akan mendapat biasiswa penuh (pakej emas) di Universiti Al-Madinah tajaan Yayasan Al-Madinah, wang tunai RM20,000 sumbangan Astro, pakej perabot tajaan Jatimas, pakej umrah tajaan Salamfon.
Hadiah lain untuk naib johan adalah pakej percutian tajaan Hiraq Marketing, Macbook Apple tajaan Infotech Quest, iPad Apple sumbangan Astro, telefon bimbit tajaan Bank Islam, Sijil Pentauliahan oleh Mufti Wilayah Persekutuan dan trofi sumbangan Astro.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
khadijah.ibrahim@utusan.com.my

0 comments: